Zahid Hamidi yakin SPRM jalankan siasatan adil kes 4 pegawai bekas PM-9


(SH) – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan dengan lengkap berhubung penahanan empat pegawai yang mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, sudah tentu SPRM menjalankan siasatan itu dengan penuh keadilan dan berpegang kepada integriti yang menjadi pegangan agensi tersebut.

“Kita yakin bahawa SPRM akan menjalankan segala proses perundangan dan siasatannya lengkap.

“Kita harap mereka melakukan keadilan dan kita harap bahawa kreadibiliti yang selama ini adalah sesuatu yang menjadi garis bawah terutama kepada SPRM akan dapat dipegang dengan penuh integriti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO Sabah kali ke-34 di Kompleks Sukan Tawau di sini pada Ahad.

Ditanya mengenai keadaan bekas Naib Presiden UMNO yang dimasukkan ke hospital pada pagi Sabtu itu, Ahmad Zahid berkata, setakat ini beliau belum berkesempatan untuk melawat namun akan melakukannya dalam masa terdekat.

“Saya mendapat tahu semalam dan saya tidak ada kesempatan sehingga malam tadi kerana ada acara. Hari ini saya berada di Tawau dan esok saya berada di Kota Kinabalu dan saya akan menziarahi beliau secepat mungkin,” katanya.

Sumber : SinarHarian



Comments
Loading...