Sultan Selangor tak berkenan UPM tukar nama asal


(FMT) – Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan dengan cadangan Universiti Putra Malaysia (UPM) ditukar nama kepada Universiti Pertanian Malaysia.

Sultan Selangor bertitah, cadangan itu tidak dirujuk kepadanya selaku canselor UPM dan Lembaga Pentadbir universiti terlebih dahulu.

“Baru-baru ini, beta membaca kenyataan Menteri (Pertanian dan Keterjaminan Makanan), Mohamad Sabu yang mencadangkan untuk menukarkan semula nama Universiti Putra Malaysia kepada Universiti Pertanian Malaysia.

“Di sini, beta menegaskan nama Universiti Putra Malaysia ini hendaklah dikekalkan kerana beta telahpun melancarkan jenama Putra yang membawa maksud ‘Pertanian Untuk Rakyat’,” titah baginda menurut Sinar Harian pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-48 (Sidang 2) di Serdang.

Baginda bertitah, Universiti Putra Malaysia turut mengambil nama sempena Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman.

“Beta ingin mengingatkan kepada mereka yang tidak memahami sejarah agar membaca dan meneliti fakta sejarah sebelum membuat apa-apa kenyataan, terutama melibatkan Universiti Putra Malaysia.”

Kelmarin, Mohamad yang juga dikenali Mat Sabu dilaporkan berkata, beliau akan membawa cadangan penukaran Universiti Putra Malaysia kepada nama asalnya Universiti Pertanian Malaysia ke Jemaah Menteri selepas mengambil kira keutamaan negara kini memfokuskan isu keterjaminan makanan dan memajukan sektor pertanian.

Penukaran nama Universiti Pertanian Malaysia kepada Universiti Putra Malaysia pada 3 April 1997 bagi menggambarkan status UPM sebagai institusi pendidikan tinggi yang bukan saja menawarkan program pengajian dalam bidang pertanian, sebaliknya pelbagai bidang lain, terutamanya sains dan teknologi maklumat.

UPM kini mempunyai 14 fakulti pengajian menawarkan pelbagai program berkaitan bidang pertanian dan keterjaminan makanan, termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan serta pertanian pintar.

Source : Free Malaysia Today



Comments
Loading...