Sekeping surat boleh jadi bukti pihak luar tuntut hak, kedaulatan wilayah negara – RCI Batu Puteh


Kehilangan hak ke atas Batu Puteh perlu diambil sebagai pengajaran bagi memastikan kelemahan, ketidaktelitian dan sikap ambil mudah dalam isu membabitkan kedaulatan negara tidak berulang.

(BH) – Ia antara teguran terkandung dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut RCI berkenaan, keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei 2008 yang menyaksikan Malaysia hilang hak kedaulatan ke atas Batu Puteh, menunjukkan percakapan dikeluarkan secara tidak berhati-hati dan tidak bermaklumat boleh digunakan lawan dan boleh memakan diri.

“Pengajaran juga harus diambil di mana sekeping surat pertanyaan oleh pihak luar serta jawapan yang diberikan secara bersurat boleh pada bila-bila masa digunakan sebagai bukti untuk pihak luar bagi menuntut hak dan kedaulatan ke atas wilayah negara.

“Setiap tindakan dan keputusan mengenai perkara dasar yang membabitkan kedaulatan dan kepentingan negara perlu dibuat dengan berhati-hati dan berpandukan undang-undang,” menurut RCI terbabit dalam penutup laporan berkenaan.

Pada 23 Mei 2008, Malaysia kehilangan hak kedaulatan Batu Puteh di ICJ, batuan yang saiznya lebih kurang sama saiz dengan sebuah padang bola sepak.

Sehingga kini, isu persempadanan maritim antara Malaysia dan Singapura di sekitar Batu Puteh masih dalam rundingan.



Comments
Loading...