Diplomat veteran gesa Nazri dipanggil pulang dari jawatan duta AS selepas aksi sokong Trump


(MN) : Seorang diplomat veteran menggesa Putrajaya memanggil pulang Nazri Aziz sebagai duta Malaysia ke Amerika Syarikat selepas tersebar gambar beliau mengangkat sepanduk memaparkan slogan Donald Trump ketika menghadiri sambutan kemenangan presiden AS itu bulan lalu.

Dennis Ignatius, yang berkhidmat sebagi duta Malaysia ke Canada sebelum bersara, menyifatkan tindakan Nazri “memalukan dan tidak profesional”.

“Sangat tidak wajar untuk mana-mana duta berkelakuan sedemikian. Ia bertentangan dengan protokol yang ditetapkan, amalan diplomatik dan pertimbangan yang baik.

“Malah duta besar AS di sini pun tidak memakai topi MAGA dan seumpamanya, mahupun berkelakuan membodek seperti itu. Nazri harus dipanggil pulang serta-merta,” Ignatius, yang mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai diplomat Malaysia, memberitahu MalaysiaNow.

Nazri, pemimpin Umno yang dilantik kurang tiga bulan selepas Anwar Ibrahim berkuasa bagi mewakili negara di salah sebuah kedutaan terpenting Malaysia, dilihat menayangkan sepanduk memaparkan “Make America Great Again” (MAGA), slogan Trump yang menjadi teras kepada pelbagai dasar daripada pengenaan tarif perdagangan kepada pengusiran berjuta-juta rakyat asing.

“Kelmarin, kami dapat hadir menyertai himpunan kemenangan MAGA untuk Presiden Donald Trump,” menurut hantaran Instagram bersama gambar Nazri yang dimuat naik isterinya pada 21 Januari.

Ia mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial, lebih-lebih lagi selepas Trump baru-baru ini untuk menyatakan hasrat mahu mengambil alih Semenanjung Gaza dan memindahkan berjuta-juta penduduk Palestin ke negara jiran Arab, cadangan yang diumumkan dalam sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Menurut Ignatius, tindakan Nazri menandakan kemerosotan mutu perkhidmatan diplomatik Malaysia sejak beberapa tahun.

“Kita sudah menyimpang jauh sejak zaman kegemilangan diplomasi Malaysia di bawah ‘King Ghaz’,” katanya merujuk Ghazali Shafie, ahli politik dan diplomat tersohor yang pernah menjawat menteri luar negeri pada awal 1980-an.

“Tetapi inilah yang berlaku apabila kita hantar orang yang tiada kelayakan dan tidak sesuai untuk mewakili kita di salah sebuah ibu kota terpenting di dunia,” tambah Ignatius.

Pelantikan Nazri sebagai duta Malaysia ke AS pada Februari 2023 bercanggah dengan dasar yang ditetapkan semasa pentadbiran Pakatan Harapan di bawah Dr Mahathir Mohamad supaya hanya diplomat kerjaya dilantik ke jawatan seperti itu.

Pada 2018, kerajaan Mahathir memecat diplomat dalam kalangan ahli politik yang dilantik di bawah pentadbiran Najib Razak sebelum itu, termasuk duta besar ke Indonesia ketika itu, Zahrain Mohd Hashim, yang digantikan dengan seorang diplomat kerjaya.

Nazri sendiri pernah menyuarakan bantahannya terhadap dasar melarang ahli politik daripada dilantik sebagai duta, menyifatkannya permainan politik PH.

“Tapi taulah, PH ni playing to the gallery. Jadi ia menjadi benda yang mudah, dia buatlah piagam mengatakan diplomat tidak boleh dilantik dari kalangan ahli Parlimen,” katanya kepada MalaysiaNow pada 2021.

Sumber : malaysianow



Comments
Loading...